Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Selamat datang ke Portal Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020).

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia merupakan salah satu aktiviti statistik yang sangat penting yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Selain menyediakan statistik penduduk dan perumahan yang terperinci dan komprehensif mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi penduduk pada satu-satu masa, Banci ini juga menyediakan maklumat asas untuk memantau Agenda Pembangunan Lestari 2030 yang merangkumi komitmen untuk membasmi kemiskinan, kesamarataan, kelestarian alam sekitar dan memastikan bahawa semua penduduk diliputi.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang merupakan aktiviti setiap dekad, telah dilaksanakan sebanyak lima kali semenjak tahun 1970. Banci ke-6 akan bermula pada 7 Julai 2020 dengan memperkenalkan Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS) iaitu ke arah memodenkan MyCensus 2020. Sistem banci berpusat dan komprehensif ini, dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri-ciri pembancian secara elektronik (e-Census), menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks. Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi. Soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan di dalam Banci 2020 bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam masyarakat.

DOSM juga telah mengadaptasi pendekatan baru dengan memperkenalkan satu portal yang selamat, komprehensif dan interaktif untuk MyCensus 2020 (www.mycensus.gov.my) sebagai gerbang maklumat yang membekalkan banyak maklumat banci dalam bentuk infografik, visualisasi interaktif dan pelbagai aplikasi atas talian berkaitan banci seperti Stats Geoportal yang menyediakan data banci dalam format geospatial interaktif bagi peringkat kawasan geografi terkecil sehingga ke peringkat daerah.

Terima kasih kerana terlibat dalam Banci Penduduk & Perumahan Malaysia 2020. Sila pastikan anda dan keluarga anda dibanci dan segala maklumat anda adalah SULIT.

“Data Anda Membentuk Masa Depan Kita’’

Salam Hormat,

YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin

Pesuruhjaya Banci

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…