Datuk Ramesh 

DATUK RAMESH CHANDER
Pesuruhjaya Banci 1970

 

Datuk Ramesh Chander telah memulakan karier di Biro Statistik, Persekutuan Tanah Melayu pada 3 November 1958. Beliau merupakan anak Malaysia yang pertama dilantik sebagai Ketua Perangkawan pada 1 Januari 1966.

Beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan yang pertama pada tahun 1970. Banci ini menggunakan teknologi pengimbasan untuk tangkapan data menjadikan Malaysia antara negara membangun yang berjaya mengaplikasikan teknologi ini. Di bawah kepimpinan beliau juga, Penyiasatan Selepas Banci (PSB) yang memungut data mengenai pendapatan, kesuburan dan tenaga buruh melalui pemadanan rekod bancian individu telah dijalankan. Ini bukan sahaja usaha perintis tetapi juga pencapaian yang signifikan. PSB menjadi asas metodologi yang digunakan oleh World Bank dalam kajian mengukur standard kependudukan, kaedah penyiasatan yang diguna pakai masa kini secara global.

Beliau bersara sebagai Ketua Perangkawan pada 31 Disember 1977 dan kemudiannya menyertai World Bank.

 

DATO' KHOO TEIK HUAT
Pesuruhjaya Banci 1980 & 1991

 

Dato' Khoo Teik Huat mula berkhidmat di Biro Statistik, Persekutuan Tanah Melayu pada 5 April 1961 dan dilantik sebagai Ketua Perangkawan pada 18 Mei 1978. Beliau meneruskan kesinambungan tugas Ketua Perangkawan sebelumnya dalam mengukuhkan sistem pengumpulan dan prosesan data perangkaan melalui penubuhan Jawatankuasa Pengguna Utama dan Jawatankuasa Pemandu Statistik. Kedua dua jawatankuasa ini berperanan untuk menetapkan garis panduan, dasar serta keutamaan bagi aktiviti-aktiviti perangkaan.

Di samping itu, beliau telah juga memperkenalkan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di Jabatan pada tahun 1989. Tujuan GIS diwujudkan adalah untuk melaksanakan aktiviti Banci Penduduk dan Perumahan bagi memuatkan data-data geografi yang berkaitan dengan geostatistik dan data pentadbiran.

Beliau telah menerima gelaran Dato' daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 16 Julai 1991 berdasarkan sumbangan yang cemerlang kepada negara dan bersara pada 14 Disember 1992.

Datuk Ramesh 

 

Datuk Ramesh 

DATO' SHAARI BIN ABDUL RAHMAN
Pesuruhjaya Banci 2000

 

Dato' Shaari Bin Abdul Rahman memulakan karier sebagai Perangkawan pada 1 Mei 1971. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Perangkawan yang keempat mulai 16 September 1995.

Di antara daya usaha yang dipelopori beliau adalah memperkukuhkan perkhidmatan Jabatan melalui pengukuhan peranan Jabatan Negeri sebagai 'Barisan Hadapan' dalam pengumpulan data. Beliau juga memperkenalkan penggunaan ICT dalam prosesan dan penghantaran data secara online melalui File Transfer Protocol (FTP) daripada JP Negeri ke Ibu Pejabat.

Di bawah pentadbiran beliau, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, Sistem Pangkalan Data Rangka Banci (SPDRB) telah dibangunkan. Hasil dorongan dan sokongan beliau, laman web Jabatan telah dibangunkan.

Selepas persaraan beliau pada 19 September 2004, beliau meneruskan khidmat sebagai Penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik.

Beliau dikurniakan Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) yang membawa gelaran Dato' pada 19 April 2000.

 

DATO' HAJAH WAN RAMLAH BINTI WAN ABD RAOF
Pesuruhjaya Banci 2010

 

Dato' Hajah Wan Ramlah Binti Wan Abd. Raof, mula berkhidmat di Jabatan Perangkaan pada 15 November 1976. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Perangkawan pada 3 Oktober 2007.

Dalam pemodenan sistem penyampaian, projek ICT Strategic Plan telah direalisasikan melalui pelaksanaan projek National Enterprise-Wide Statistical Systems (NEWSS). Beliau juga telah memperkenalkan penggunaan Personal Digital Assistant (PDA) dan e-Survey untuk pengumpulan data.

Sebagai peneraju Jabatan, beliau komited dalam melaksanakan visi dan misi Jabatan untuk menjadi sebuah organisasi statistik yang terbilang di dunia dengan komitmen dan sokongan daripada anggota Jabatan.

Beliau telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) pada tahun 2009. Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Perangkawan pada 11 Ogos 2011.

Datuk Ramesh 
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…