Info Banci
Banci 2020 ke-6
Banci Penduduk dan Perumahan dilaksanakan 10 tahun sekali. Sejak penubuhan Malaysia, 5 kali banci telah dilaksanakan.
Tujuan
Mendapatkan stok penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci pada suatu masa bagi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi penduduk.
Punca Kuasa
- Akta Banci 1960 (Disemak 1969)
- Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989)
Resolusi
Resolusi Program Banci Penduduk dan Perumahan Dunia 2020 yang diguna pakai oleh ECOSOC (10 Jun 2015) adalah untuk memastikan negara-negara anggota menjalankan banci dalam tempoh 2015 hingga 2024.
Panduan
Prinsip dan Cadangan untuk Banci Penduduk dan Perumahan, Semakan 3, UNSD (2015).
Konsep& Definisi
Blok Penghitungan
- Suatu kawasan muka bumi yang diwujudkan secara rekaan dan mempunyai sempadan tertentu.
Tempat Kediaman
- Suatu tempat yang berasingan dan bebas dari segi struktur untuk tempat tinggal.
- Struktur yang berasingan dan bebas serta dibina untuk tujuan tempat tinggal iaitu :
- Berasingan: Struktur dianggap berasingan jika ia dikelilingi atau dipisahkan oleh dinding-dinding, pagar dan sebagainya dan ditutupi oleh bumbung.
- Bebas: Struktur dikatakan bebas jika mempunyai jalan masuk secara terus sama ada dari tangga umum, tempat lalu lintas atau ruang lapang, tanpa perlu melalui perkarangan orang lain.
Isi Rumah
- IR terdiri daripada orang yang bersaudara dan/ atau tidak bersaudara yang biasa tinggal bersama dan membuat peruntukan yang sama untuk makanan dan keperluan hidup lain.
- Ciri-ciri IR seperti berikut:
- Kumpulan ini berkongsi peruntukan untuk makanan dan keperluan lain daripada sumber kewangan yang disatukan bagi membuat penyediaan yang sama dan biasanya hidup bersama;
- Sesebuah IR boleh terdiri daripada beberapa ahli atau mungkin seorang ahli sahaja;
- Orang-orang di dalam sesebuah TK mungkin mempunyai pertalian kekeluargaan atau tidak bersaudara atau gabungan kedua-duanya sekali; dan
- Biasanya satu IR mendiami sebuah TK. Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat lebih daripada satu IR menduduki sesebuah TK.
Ketua Isi Rumah (KIR)
KIR adalah ahli isi rumah yang biasa tinggal di tempat kediaman ini dan dirujuk sebagai ketua oleh ahli-ahli isi rumah yang lain.
Ahli Isi Rumah (AIR)
AIR merujuk kepada ahli biasa yang telah atau akan tinggal bersama ahli isi rumah yang lain bagi tempoh enam bulan atau lebih dalam tahun 2020, walaupun ahli tersebut tiada semasa pembancian dijalankan.
Sempadan Banci
Definisi Banci
Banci Penduduk dan Perumahan dijalankan untuk mendapatkan stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci pada suatu masa sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi penduduk. Data banci menjadi asas dalam pemantauan arah aliran penduduk dan perumahan untuk perancangan pembangunan negara.
Konsep De Jure
Banci Penduduk dan Perumahan 2020 menggunakan pendekatan “de jure” bermaksud di mana semua orang dihitung pada Hari Banci (Julai 2020) mengikut tempat tinggal biasa mereka.
Konsep De Facto
Konsep “de facto” bermaksud di mana semua orang dihitung mengikut tempat mereka berada pada Malam Banci.
Hari Banci, Tempoh Pelaksanaan Banci, Garis Masa
Bagi menetapkan Hari Banci, tarikh tersebut sebaik-baiknya bebas daripada perayaan, musim angina monsun, cuti-cuti am, bulan puasa, musim haji dan apa-apa peristiwa besar yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya banyak pergerakan penduduk. Berdasarkan faktor-faktor tersebut, cadangan tarikh banci adalah pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, Jabatan Perangkaan telah melaksanakan kerja perancangan dan persediaan banci mulai tahun 2016, antaranya aktiviti pengemaskinian rangka dan pendigitalan peta, penyelidikan soal selidik, kajian mod pembancian dan pembangunan modal insan berkaitan banci.
Tahun dan Tarikh Banci
Tahun Banci | Tarikh Banci | ||
1970 | Perumahan: 27 Julai1970 (Isnin) Penduduk: 25 Ogos 1970 (Khamis) |
||
1980 | Perumahan: 17 Mei 1980 (Sabtu) Penduduk: 11 Jun 1980 (Rabu) |
||
1991* | 14 Ogos 1991 (Rabu) | ||
2000* | 5 Julai 2000(Rabu) | ||
2010* | 6 Julai 2010 (Selasa) | ||
2020* | Fasa 1 - 7 Julai - 30 September 2020 (e-Census) Fasa 2 - 7 Oktober - 24 Oktober 2020 (secara temuramah bersemuka) |
*Banci Penduduk dan Perumahan dijalankan serentak