Kod 10 - Hartanah

Kod 101 - Rumah Sesebuah

Rumah berasingan yang tidak berkongsi dinding dengan rumah lain.

Kod 102 - Rumah Berkembar

Dua buah rumah berasingan tetapi berkongsi dinding yang sama dan mempunyai pintu/laluan masuk yang sama/berasingan.

Kod 103 - Rumah Teres

Rumah berasingan yang dibina secara berbaris tetapi berkongsi dinding dengan rumah di sebelahnya sama ada di sebelah kiri atau kanan atau kedua-duanya sekali.


Kod 104 - Rumah Berangkai

Rumah berasingan yang dibina secara berbaris tetapi berkongsi dinding dengan rumah di sebelahnya sama ada di sebelah kiri atau kanan atau kedua-duanya sekali mengikut ciri-ciri di bawah: Bukan dibina oleh pemaju perumahan. Tidak berstruktur.

Kod 105 - Rumah Berkelompok

Rumah berasingan yang berkongsi dinding yang sama dengan rumah di sebelahnya dan bercantum (berkongsi dinding) di bahagian belakang dengan rumah di belakangnya.

Kod 106 - Rumah Bandar

Struktur rumah bandar adalah sama seperti rumah teres dua tingkat yang bersambung secara menegak atau melintang antara satu sama lain dalam satu bangunan.

Top


Kod 11 - Pangsa/Apartment/Kondominium

Kod 111 - Rumah Pangsa

Bangunan bertingkat yang mengandungi unit-unit rumah yang berasingan dan berkongsi koridor/laluan utama. Kemudahan asas yang disediakan oleh pihak pemaju/pengurusan termasuklah tempat letak kereta terbuka, pembuangan sampah dan lif. Terdapat juga rumah pangsa/flat bertingkat rendah tanpa lif. Secara umum, rumah pangsa dikelaskan sebagai rumah mampu milik.

Kod 112 - Apartment

Bangunan bertingkat yang mengandungi beberapa unit kediaman yang berasingan dan dimiliki oleh individu dan bukan pengusaha hotel. Kemudahan asas yang disediakan termasuk surau, tempat letak kereta, tempat rekreasi, pusat cucian pakaian, gimnasium, kolam renang, lif, perkhidmatan keselamatan dan dikelilingi pagar.

Kod 113 - Kondominium

Bangunan bertingkat yang dianggap hartanah mewah dan eksklusif. Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak pemaju / pengurusan adalah lebih baik daripada apartmen. Antara kemudahan tersebut ialah tempat letak kereta khusus untuk setiap pemilik, kolam renang, gimnasium, tempat cucian pakaian, lif, rumah kelab, kawasan berpagar dan perkhidmatan sistem keselamatan yang lebih ketat.

Kod 114 - Pangsapuri Khidmat (Service Apartment)

Unit kediaman yang berbilang tingkat yang dimililki oleh individu atau disewakan untuk jangka masa pendek atau kekal. Akomodasi terdiri daripada unit studio, satu dan lebih bilik termasuk ruang dapur. Kemudahan yang disediakan oleh pemaju adalah restoran, pusat cucian pakaian, khidmat pengurusan bilik, tempat letak kereta, tempat sukan dalaman dan luaran.

Kod 115 - Small Office Home Office (SOHO)

SOHO merujuk kepada tempat kediaman dan ruang pejabat yang direka khas dan ruangnya bersaiz sederhana.

Kod 116 - Small Office Flexible Office (SOFO)

SOFO direka khas untuk tempat kediaman dan ruang pejabat tetapi ruangnya lebih besar berbanding SOHO. Unit perumahan SOFO ini lebih fleksibel dalam reka bentuk dalaman ruang pejabat yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan pemilik.

Top

Kod 12 - Unit Perumahan Lain

Kod 121 - Rumah Kedai/Pejabat

Bangunan bertingkat yang dibina di kawasan komersial/perumahan dan pada kebiasaannya didirikan dua tingkat dan lebih untuk tujuan aktiviti perniagaan seperti bilik pameran perniagaan, institusi kewangan, pusat pendidikan, pejabat korporat, pusat hiburan dan restoran. Aktiviti perniagaan lazimnya dijalankan di tingkat bawah manakala di tingkat atas pula dijadikan sebagai tempat kediaman. Secara am, ia berkongsi jalan masuk ke tingkat atas sama ada melalui tangga atau lif.

Kod 122 - Rumah Panjang

Rumah yang dibina secara berbaris dan berkongsi koridor di bahagian hadapan. Pada kebiasaannya, ia terdapat di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.Rumah panjang yang terdapat di Semenanjung Malaysia tidak termasuk dalam kategori ini. Ia perlu dikategorikan sebagai rumah teres.

Kod 123 - Pondok Gantian/Sementara

Kategori ini adalah bagi tempat kediaman yang pada amnya dianggap sementara dan tidak begitu sesuai untuk dijadikan sebagai tempat kediaman. Pada kebiasaannya, ia dibina daripada bahan-bahan buangan seperti papan, papan lapis, zink dan lain-lain.

Kod 124 - Bilik

Bilik di dalam atau bersambung kepada sesuatu struktur dan mempunyai jalan terus dari luar, misalnya, bilik di dalam/bersambung kepada rumah, rumah kedai, pejabat, kilang, loji dan sebagainya.

Kod 125 - Rumah Kampung Air

Rumah yang berkongsi dan tidak berkongsi dinding dengan rumah lain dikawasan perkampungan air mengikut ciri-ciri di bawah:

i. Dibina di gigi air

ii. Tidak berstruktur

iii. Kemudahan utiliti terhad.

Kod 126 - Lain-lain

Ia termasuk jenis tempat kediaman yang boleh dipindah-pindahkan seperti khemah atau unit yang boleh bergerak, misalnya, bot, rakit dan kabin. Ia juga termasuk gua yang telah diubahsuai untuk dijadikan tempat kediaman.

Top