Pengenalan


Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 adalah projek banci yang akan dijalankan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia pada tahun 2020. Banci 2020 adalah banci yang keenam dilaksanakan semenjak penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Pelaksanaan Banci 2020 adalah merujuk kepada peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969). Akta ini turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

Banci 2020 akan dilaksanakan secara atas talian (online)


Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara atas talian (online) diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih. Bagi melengkapkan borang e-Census, poskad yang mengandungi panduan mengisi dan pautan  e-Census di Portal Banci akan dihantar ke tempat kediaman anda. Selain itu, aplikasi mudah alih juga diperkenalkan untuk kegunaan pembanci mengisi maklumat anda semasa sesi temuramah diadakan dengan menggunakan tablet atau telefon pintar.

Adakah saya perlu melengkapkan banci?



Ya. Berdasarkan Akta Banci 1960 (disemak 1969) mewajibkan semua orang awam untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci.

Mengapa kami melaksanakan Banci?


Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi penduduk. Data banci yang terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan Negara.

Mengapa saya perlu mengambil bahagian dalam Banci 2020?



Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan adalah penting bagi mengenalpasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia. Maklumat yang diperoleh akan digunakan untuk merancang, menggubal dan melaksanakan polisi Kerajaan Malaysia untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan. Maklumat dari banci juga menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan yang bernilai berbilion ringgit Malaysia akan dibelanjakan di seluruh negara. Penghasilan profil yang terperinci ini akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya, dan pengangkutan awam. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga menggunakan maklumat daripada banci untuk membantu memenuhi keperluan-keperluan teras di kawasan mereka.


Siapakah yang akan dibanci?